Komposisi
Jika anda meninjau menerusi vf kamera, terdapat begitu banyaknya benda-benda yang kelihatan; bagi mengurangkannya bolehlah anda bergerak lebih hampir, dan tinggalkan mana-mana yang tidak berkenaan dengan tema gambar anda kelak - sama ada anda mengambil gambar sebuah rumah, sebatang pohon, seseorang, seekor haiwan dan sebagainya.
Dalam fotografi, benda-benda ini dipanggil elemen, dan mana-mana satu atau lelbih elemen yang terpilih untuk dirakam adalah menjadi subjek gambar. Malangnya, sukar untuk mengelakkan kehadiran sebarang elemen lain di sekitarannya, jadi bagaimanakah caranya untuk menjadikan elemen-elemen itu tadi supaya tidak mengganggu subjek anda?
Setelah sesuatu elemen dipilih sebagai subjeknya, tindakan berikutnya pula ialah bagaimana caranya hendak meletakkan subjek ke dalam ruang vf. Apakah ada peraturan-peraturan tertentu mengenainya, atau adakah mahu supaya gambar itu kelak dalam format menegak (portrait) atau mendatar (lanskap), perlu diputuskan sebelum anda memetik kamera. Jika anda memutuskan bahawa aspek-aspek ini tidak penting, maka anda akan membuat suatu kerja yang sia-sia dan mungkin kesal, sama ada gambar itu kelak adalah untuk kenang-kenangan sahaja, apalagi jika berhasrat menjadikannya sebagai gambar-gambar kreatif. Sesuatu keputusan itu adalah lebih baik sekiranya dibuat berdasarkan sesuatu peraturan atau prinsip yang diterima ramai.
Antara peraturan-peraturan yang menjadi fakta penting dalam dunia fotografi ialah komposisi; kepentingannya sehingga menjadi satu topik yang tidak pernah ditinggalkan dalam kebanyakan buku fotografi.
Komposisi ialah suatu penerangan teori yang menjadi panduan meletak subjek ke dalam ruang gambar. Ia bermula sejak para pelukis dan jurufoto membuat kajian terhadap gambar-gambar yang telah berjaya mengusik perasaan dan menarik perhatian: perkara-perkara seperti warna, bentuk, garisan dan tone, dipertimbangkan dalam hal-hal untuk mengaitkan gambar dan kesannya dalam pengimbangan dan sebagainya.
Komposisi adalah suatu istilah yang subjektif, sukar untuk ditakrif, apalagi untuk dijadikan suatu set peraturan yang diharap sentiasa sesuai untuk semua keadaan; pada masa yang sama, fotografi adalah suatu bidang seni, dan penghasilannya adalah bergantung kepada kreativiti seseorang. Bagaimanapun tidak pula bererti setiap orang bebas untuk menghasilkan apa jua hasilan seni mengikut kemahuannya sehingga sukar untuk dimengerti. Bukankah sesuatu pengertian itu didasarkan kepada sesuatu nilai, jadi tentulah lebih baik sekiranya ada sesuatu peraturan atau panduan yang universal supaya dapat diterima oleh semua atau kebanyakan orang.
No comments:
Post a Comment