Asas Fotografi : Pendedahan
Pendedahan
Pendedahan menentukan mutu gambar foto. Gambar yang baik adalah yang dihasilkan oleh pendedahan yagn secukupnya sahaja, tidak terlebih atau terkurang. Kerana itulah sebenarnya teknik membuat pendedahan merupakan aspek amat penting dalam aktiviti fotografi, terutama sekali dalam penghasilan gambar-gambar foto kreatif. Gambar yang terhasil daripada pendedahan yang tepat akan menunjukkan detail, tone dan warna subjek dengan tepat dan jelas.
Detail bagi gambar wajah seseorang akan menunjukkan liku-liku bentuk hidung, bibir, mata dan lain-lain; jika wajah seorang tua akan kelihatan kedut-kedut kulit mukanya; bagi sekuntum bunga raya pula, akan menunjukkan kelopak-kelopaknya dengan jelas, jalinan urat-urat pada kelopak, serta warna yang semula jadi.
Bagaimanakah cara membuat pendedahan yang betul? Ini dapat dilakukan dengan menggunakan kamera yang dilengkapi dengan pelaras-pelaras berkenaan sahaja.
Bagi kamera ringkas biasanya direkabentuk untuk mengambil gambar foto dengan cara yang paling mudah sahaja, tanpa perlu melaras kelajuan shutter dan saiz bukaan apaca; kamera jenis ini memang tidak dilengkapi dengan pelaras-pelaras yang dimaksudkan; jadi pendedahannya adalah terhad mengikut kemampuan yang ditetapkan sahaja, misalnya disediakan sistem untuk ISO 100 atau 200 sahaja, dan dalam keadaan pencahayaan tertentu. Kamera ini juga hanya untuk mengambil gambar dalam keadaan cahaya matahari yang terang atau menggunakan lampu kilas yang juga terhad kepada jarak tertentu sahaja. Kemampuan yang disebut ini tadi hanya sesuai untuk mengambil gambar keluarga atau gambar-gambar lawatan untuk kenang-kenangan semata-mata. Adalah sukar untuk mengambil gambar kreatif, kecuali jika terdapat peluang keemasan dari keadaan sekitaran yang ada, dengan pencahayaan yang cukup teratur seperti acara-acara pementasan atau konsert.
Konsep pendedahanAktiviti fotografi adalah bergantung sepenuhnya kepada cahaya. Sumber-sumber cahaya yang biasa ialah matahari, mintol lampu elektrik yang sentiasa menyala dan lampu kilas yang menyata dalam jangka masa yang amat singkat. Lain-lain sumber cahaya yang biasa dan mungkin boleh digunakan ialah lilin, bulan dan unggun api.
Pendedahan adalah tindakan membenarkan masuk sejumlah cahaya yang diperlukan oleh sensor bagi kamera digital, atau filem bagi kamira analog yang sekarang sudah tidak banyak kelihatan. Ini boleh diibaratkan seperti membakar biskut menggunakan oven. Biskut yang didedah kepada kepanasan oven yang tertentu, dalam masa yang secukupnya sahaja akan masak dengan sempurna. Sekiranya biskut didedah lebih lama walaupun dengan kepanasan yang sama, akan terlebih bakar, atau mungkin hangus; tetapi jika dalam tempoh itu, kepanasan oven dikurangkan, mungkin biskut itu tidak akan terlebih bakar. Dalam contoh ini, pendedahan bergantung kepada dua faktor iaitu suhu oven dan tempoh masa membakar.
Pendedaha kamera bergantung kepada jumlah cahaya: cahaya yang masuk ke dalam kamera perlu dikawal sesuai dengan tempoh masa pendedahan, bagi menghasilkan pendedahan yang tepat. Jadi dua masalah yang harus diselesaikan ialah:
- bagaimana cara untuk mengawal keamatan cahaya yang akan sampai ke sensor kamera, dan
- bagaimanakah pula caranya untuk mengawal tempoh masa bagi cahaya itu bertindak ke atas sensor.
Alat kawalan pendedahanKamera SLRD dilengkapi dengan dua alat kawalah yang dapat mengendalikan kawalan keamatan cahaya dan tempoh masanya. Dengan kedua-dua alat kawalan atau pelaras ini, pendedahan dapat diatur dengan sempurna. Alat-alat yang dimaksudkan ialah
- shutter (menentukan tempoh masa pendedahan), dan
- apaca (mengawal keamatan cahaya)
Pendedahan yang betul memerlukan saling imbang shutter-apaca. Bagi sebarang keadaan keamatan cahaya, kelajuan shutter harus disesuaikan dengan saiz apaca.
No comments:
Post a Comment